Tuesday 31 January 2012

Hari Pertama

Tiba-tiba aku teringat ketika aku hilang pertimbangan. Takkan aku lupa pada saat dan tika itu.

Kepala terus berpinar yang bukan kepalang. Bukan ini yang aku pinta di awal tahun 2012 yang sangat aku nanti-nantikan kewujudannya.

Pada awalnya, "Tak kot..'"
Mengharapkan yang aku sudah tersalah baca.
Bila dah lama sikit baru aku sedar yang aku betul-betul telah diputuskan. Serta-merta aku menggigil. Shaking like h***. Sampai tak boleh nak menulis. Mungkin kerana terlalu menahan sebak di hati agaknya.

Aku menghantar satu pesanan ke kesayangan di Banting kerana terlalu terkejut. Aku langsung tidak boleh mengeluarkan kata-kata ketika itu. Jadinya aku menolak semasa kesayangan ingin menelefon aku. Jika tidak, pasti air mata akan mengalir tanpa segan silu.

Yang aku ingat, masa tuh lunch hour. Sebelum tuh dah memang lapar tahap boleh makan apa saje yang ada depan mata. Tapi lepas tuh dengan serta merta selera itu pergi entah ke mana. Aku kuis-kuis kan aje nasi di hujung jemari dan dengan tak semena-mena aku muntah. Kenapa aku muntah?

Sampai satu tahap yang aku tak boleh nak tahan, aku menangis teresak-esak. Betapa payah aku untuk aku mengawal perasaan yang ketika itu aku berada di office. Sekuat mana pun aku tahan, aku tewas juga. Aku berteleku seketika dan membiarkan saja ia mengalir.

Tak tertanggung rasanya.

Sesetengah orang mungkin beranggapan yang itu semua tidak masuk akal untuk bersedih begitu tetapi tidak bagi aku. Tak pernah aku berasa teruk sebegini. Sangat teruk.

Setiap satu minit aku menjeling ke arah jam. Waktu berputar sangat lah perlahan dan masih terlalu jauh untuk aku pulang ke rumah. Kepala yang sudah berat dan dengan hati yang sebal aku perlu melayan pelanggan company yang menelefon mahupun yang datang ke office.

Aku hanya dapat tonjolkan wajah ceria yang dibuat-buat dan senyuman palsuku semanis mungkin. Juga suaraku yang sedikit serak kedengaran. Semua nih cuba ku kawal tapi..

Ombak di dada sudah tidak tentu arah. Kepincangan. Aku tidak boleh mengawalnya. Makanya, aku keluar office seawal 4:15 petang kerana sakit di kepala yang tak tertanggung. Alhamdulillah keadaan jalan raya yang lengang betul-betul dapat memberikan sedikit kelegaan.

Perasaan untuk sampai di rumah sungguh membuak-buak.

Akhirnya dapat juga aku merebahkan badan dan melenyapkan sedikit rasa sakit yang sedari tadi aku tahan. Aku terlelap dalam sendu di atas katil usangku.

::nukilan ikhlas dari jari manisku

Friday 27 January 2012

Bulan ditutup Awan

Wahai..
Janji setia sudah diucapkan,
Aduh kata bersumpah telah ku padukan,
Kini engkau pergi jauh membawa diri,
Tinggal daku seorang dalam sunyi sepi.

Nun Bulan ditutup awan,
Terkenang hati bertambah rawan.

Wahai.. 
Jikalau ku tahu janjimu palsu,
Tentu tidak ku turut sedari dahulu.

Cinta itu sangat buta

Hati berdebar-debar di saat menerima pesanannya di Facebook. Ada getaran yang lain dari biasa. Aku seperti dapat rasakan apa yang bakal aku hadapi. Ternyata naluri aku sangat kuat. Telahan aku sangat tepat. Dirinya mahu melepaskan aku pergi yang bukan aku pinta.

Semuanya selepas pertanyaan yang sangat menggusarkan hati.

"Bagi tak kalau husband kahwin dua?"

Ohh pertanyaan apakah ini? Aku memang tak pernah menyangka yang dirinya akan bertanyakan soalan seperti itu. Aku pernah memberitahu dirinya bahawa pasti ada maksud tersirat jika seorang lelaki bertanyakan tentang sesuatu yang pelik pada halwa pendengaran seorang wanita. Ternyata betul dan tepat sekali.. *menangis*

Perempuan mana yang sanggup berkongsi? Orang akan cakap perempuan memang tamak. Ya! Mereka akan tamak dalam hal kasih sayang apatah lagi untuk bertolak ansur dalam hal ini.

Sangat mudah aku disisihkan dengan hanya dua pesanan yang aku terima darinya melalui Facebook. Facebook?? Kenapa Facebook? 


Laman sosial ini lah yang menemukan kami berdua. Aku pun tidak pasti bagaimana ia boleh terjadi dan boleh pergi sejauh ini.

Facebook yang menjadi perantara kami untuk bertanyakan khabar dan berkongsi segala apa yang terjadi dalam kehidupan seharian masing-masing. Orang akan cakap yang aku ini mungkin bodoh. Benda-benda maya nih mana boleh percaya. Aku pun tak tahu.. Tak tahu! Hati aku mudah untuk terima dirinya.

Sebelum ini aku sangat susah untuk menerima mana-mana lelaki yang cuba mendekati tetapi sangat mudah untuk dirinya.

Jika dulu aku menolak cinta dari sahabat baik aku sendiri yang aku anggap itu adalah cinta monyet. Ada ke cinta sejati di zaman sekolah? Tidak mungkin pada aku. Muncul pula selepas itu seseorang yang menawarkan cinta pada aku. Aku kenal melalui satu program di bawah tajaan sekolah. Program yang menggabungkan pelajar-pelajar seluruh Selangor.

Dia sukakan aku walhal aku berkawan baik dengan sahabat baiknya sahaja. Jawapannya? Aku tolak mentah-mentah. Bukan aku tidak kenal siapa dirinya. Dia sangat baik dan mempunyai ciri-ciri pemimpin dan tegas tapi entah lah. Soal hati memang tidak boleh dipaksa. Jadinya ia berlalu begitu sahaja.

Sampailah satu hari aku di Universiti di tahun dua. Aku terima satu panggilan yang tidak pernah aku sangka. Dia kembali menagih cintaku. Aku masih tidak dapat menerima tetapi bila difikirkan semula kenapa tidak aku mencuba. Kenapa tidak aku berinya peluang yang sanggup tunggu bertahun lamanya.

Orang cakap, 'Lebih baik dicintai daripada mencintai.'

Hanya bertahan selama 4 bulan, aku sudah tidak sanggup untuk menipu diri sendiri dan juga dirinya. Aku tidak boleh. Hati memang tidak boleh dipaksa-paksa. Aku berterus terang dan dia yang memutuskan jua akhirnya.


Mungkin sekarang ini dia sedang berbahagia dengan anak Datuk tuh. Hehe.. Itulah yang terbaik untuknya.


Aku masih lagi selesa dengan kehidupan solo ku. Aku tidak kisah walau teman disekeliling sudah ada pasangan masing-masing kerana aku tahu pasangan aku sedang menanti. Cuma tidak tahu siapakah gerangannya.


Sampailah suatu ketika yang aku langsung tak duga. Aku semakin selesa dengan orang yang aku tidak pernah rapat dan agak jarang bertegur. Semuanya adalah satu kebetulan. Semakin hari semakin rapat. Hingga menimbulkan syak wasangka orang sekeliling.


Puas kami sorokkan apa yang berlaku tetapi terbongkar jua dan menjadi buah mulut teman dan juga musuh (mereka-mereka yang menjadikannya musuh). Di sini lah aku difitnah dan dicaci hina. Masa ini sangat terkilan kerana aku tidak mendengarnya sendiri dari dia. Kenapa sanggup dibiarkan aku difitnah begitu? *menangis*


Dia tidak tahu bagaimana susahnya aku menahan rasa dan melihat dia dan dia (yang dulunya pernah mengakui tidak akan bersama kembali) berjalan bersama. Aku dapat rasakan mereka-mereka yang memfitnah dan membenci aku bertepuk tangan gembira dengan drama yang sedang mereka saksikan ketika itu.


Aku menjauhkan diri tetapi perlahan-lahan aku dapat terimanya bersama jurang yang terbina.


Sedang aku asyik bergembira setelah semuanya pulih, inilah detik yang aku tidak tahu bagaimana ia bermula. Hanya sekadar bertegur sapa dalam pesanan di Facebook, lama-kelamaan menjadi satu kemestian. Aku seronok berbual maya dengannya. Berasa senang... dan dengan tiba-tiba dirinya ingin berhubung dengan lebih rapat denganku.


Selepas segala gerak geri dihidu oleh teman kesayangan, aku mengakui semua padanya. Aku minta sedikit pandangan dan pendapat tentang hubungan yang akan dibina tetapi dikekang dengan jarak yang teramat jauh. Hubungan yang tidak akan bersua muka. Hanya kata yang merungkai segalanya.


"Yang.. Kalau ikhlas, semua benda boleh jadi dengan baik.."


Aku teruskan dengan riang gembira walau ada sedikit gundah pada awalnya. Bulan pertama berlalu dengan begitu baik sekali diikuti dengan bulan kedua, ketiga, keempat dan seterusnya. Semua berjalan dengan lancar.


Tiba di bulan yang keenam aku sangat terkejut. Kerana apa? 


Aku tidak menyangka yang dia telah memikirkan hala tuju tentang hubungan ini. Aku tidak kisah untuk menunggunya sehingga pulang ke tanah air walaupun aku rasa pada masa itu terlalu lama. Terlalu lambat masa bergerak untuk aku bertemu muka dengan dirinya.


".. lebih dari kawan."


Sekurang-kurangnya dua tahun lagi. Aku sanggup tunggu kerana aku dapat rasa keikhlasan itu. 


Setelah beberapa minggu aku ada bertanyakan lagi tentang hal ini kerana inginkan kepastian. Adakah benar seperti yang dikatakan olehnya sebelum ini. Aku anggap ini adalah satu harapan yang sangat indah. Sangat menyentuh naluriku dan jawapan darinya tetap sama. *tersenyum*


Sehinggakan ada Pegawai yang aku jumpa di KWSP yang ingin mendekat dan juga seorang QS yang ingin dijodohkan aku biarkan begitu sahaja kerana aku telah berjanji yang aku akan menunggu dirinya. 


Tapi apakan daya semua harapan itu gugur juga sebelum sempat ia mendaki dengan lebih tinggi. Dia ingin kembali ke pangkuan wanita yang pernah dia cintai suatu ketika dulu.


"Katakan lah dia datang balik, macam mana?"


"Tak.. Tak mungkin dengan dia dah. Dah habis."


Aku masih ingat dan akan sentiasa ingat.


Bagaimana susah untuk aku terima seseorang dalam hidup tetapi bila aku cuba dan telah buka pintu hati ini, aku juga yang kecewa merintih akhirnya. 


Tetapi yang peliknya kenapa tiada rasa sakit hati, marah atau benci terhadap dirinya??


'Cinta itu memang sangat buta.'


::nukilan ikhlas dari jari manisku



Wednesday 25 January 2012

Mencari Ketenangan

Lihat sahaja kelopak-kelopak ini berguguran sungguh tenang rasanya. Mendamaikan jiwa. Namun jauh di sudut hati ini sayu dan hiba menghimpit diri. Ia berguguran bagaikan harapan-harapan yang diberikan punah sebelum ia tumbuh mekar nan indah.

Tiada sedikit pun penyesalan dengan apa yang terjadi cuma ketenangan yang perlu dicari.

Merasai sendiri bagaimana kesakitan itu membuatkan aku sedar betapa rapuhnya jiwa ku ini. Jika sebelum ini aku terlalu yakin mampu untuk mengharungi keperitan ini tetapi ternyata aku silap. Aku tidak sekuat yang disangka. Aku tidak gagah. 

Langsung tidak!

Air-air jernih bertakung jua di tubir mataku yang akhirnya jatuh tanpa henti. Rasa sakitnya hanya aku saja yang tahu. Sangat berat untuk aku telan dikala bahagia sedang meniti.

Adakah selama ini hanyalah pura-pura atau hanya sekadar penyedap rasa? 

Setiap hari aku menanti tanpa henti. Setiap malam rindu bertamu tanpa jemu yang akhirnya aku kecewa sendiri dirundung sepi. Percayalah betapa payah untuk melupakan dan melenyapkan semua dalam sekelip mata.

Aku juga tidak mahu ia terus luput dari sanubari tetapi berilah aku kekuatan untuk menjalani hari-hari mendatang dengan lebih tenang. Bukanlah semangat baru yang aku pinta tapi cukuplah dengan sisa-sisa semangat yang masih ada untuk aku mengorak langkah mengatur hidup.

Mungkin sekarang aku boleh menarik sedikit nafas tidak seperti sewaktu aku disisihkan dulu. Sungguh pedih bila mana hampir setiap malam aku bermimpikan wajahnya. Mimpi itu hanyalah mainan tidur semata. Aku mahu percaya pada hakikat itu tetapi mungkin itu adalah satu petanda. 

'Aku dibiarkan terkapai sendirian dikala susah dan dirinya hanya memandang kosong padaku yang amat memerlukan pertolongan.'

Sangat menyeksa jiwa.

Walaupun sudah melewati beberapa minggu tetapi lukanya masih tiada ubat. Masih tidak menunjukan tanda-tanda untuk pulih. Darahnya sentiasa mengalir walau berkali-kali dibasuh.

Ketenangan yang hakiki hanya ada padaNya. Aku perlu berusaha untuk mencari ketenangan itu..

::nukilan yang ikhlas dari jari manisku