Friday 27 January 2012

Cinta itu sangat buta

Hati berdebar-debar di saat menerima pesanannya di Facebook. Ada getaran yang lain dari biasa. Aku seperti dapat rasakan apa yang bakal aku hadapi. Ternyata naluri aku sangat kuat. Telahan aku sangat tepat. Dirinya mahu melepaskan aku pergi yang bukan aku pinta.

Semuanya selepas pertanyaan yang sangat menggusarkan hati.

"Bagi tak kalau husband kahwin dua?"

Ohh pertanyaan apakah ini? Aku memang tak pernah menyangka yang dirinya akan bertanyakan soalan seperti itu. Aku pernah memberitahu dirinya bahawa pasti ada maksud tersirat jika seorang lelaki bertanyakan tentang sesuatu yang pelik pada halwa pendengaran seorang wanita. Ternyata betul dan tepat sekali.. *menangis*

Perempuan mana yang sanggup berkongsi? Orang akan cakap perempuan memang tamak. Ya! Mereka akan tamak dalam hal kasih sayang apatah lagi untuk bertolak ansur dalam hal ini.

Sangat mudah aku disisihkan dengan hanya dua pesanan yang aku terima darinya melalui Facebook. Facebook?? Kenapa Facebook? 


Laman sosial ini lah yang menemukan kami berdua. Aku pun tidak pasti bagaimana ia boleh terjadi dan boleh pergi sejauh ini.

Facebook yang menjadi perantara kami untuk bertanyakan khabar dan berkongsi segala apa yang terjadi dalam kehidupan seharian masing-masing. Orang akan cakap yang aku ini mungkin bodoh. Benda-benda maya nih mana boleh percaya. Aku pun tak tahu.. Tak tahu! Hati aku mudah untuk terima dirinya.

Sebelum ini aku sangat susah untuk menerima mana-mana lelaki yang cuba mendekati tetapi sangat mudah untuk dirinya.

Jika dulu aku menolak cinta dari sahabat baik aku sendiri yang aku anggap itu adalah cinta monyet. Ada ke cinta sejati di zaman sekolah? Tidak mungkin pada aku. Muncul pula selepas itu seseorang yang menawarkan cinta pada aku. Aku kenal melalui satu program di bawah tajaan sekolah. Program yang menggabungkan pelajar-pelajar seluruh Selangor.

Dia sukakan aku walhal aku berkawan baik dengan sahabat baiknya sahaja. Jawapannya? Aku tolak mentah-mentah. Bukan aku tidak kenal siapa dirinya. Dia sangat baik dan mempunyai ciri-ciri pemimpin dan tegas tapi entah lah. Soal hati memang tidak boleh dipaksa. Jadinya ia berlalu begitu sahaja.

Sampailah satu hari aku di Universiti di tahun dua. Aku terima satu panggilan yang tidak pernah aku sangka. Dia kembali menagih cintaku. Aku masih tidak dapat menerima tetapi bila difikirkan semula kenapa tidak aku mencuba. Kenapa tidak aku berinya peluang yang sanggup tunggu bertahun lamanya.

Orang cakap, 'Lebih baik dicintai daripada mencintai.'

Hanya bertahan selama 4 bulan, aku sudah tidak sanggup untuk menipu diri sendiri dan juga dirinya. Aku tidak boleh. Hati memang tidak boleh dipaksa-paksa. Aku berterus terang dan dia yang memutuskan jua akhirnya.


Mungkin sekarang ini dia sedang berbahagia dengan anak Datuk tuh. Hehe.. Itulah yang terbaik untuknya.


Aku masih lagi selesa dengan kehidupan solo ku. Aku tidak kisah walau teman disekeliling sudah ada pasangan masing-masing kerana aku tahu pasangan aku sedang menanti. Cuma tidak tahu siapakah gerangannya.


Sampailah suatu ketika yang aku langsung tak duga. Aku semakin selesa dengan orang yang aku tidak pernah rapat dan agak jarang bertegur. Semuanya adalah satu kebetulan. Semakin hari semakin rapat. Hingga menimbulkan syak wasangka orang sekeliling.


Puas kami sorokkan apa yang berlaku tetapi terbongkar jua dan menjadi buah mulut teman dan juga musuh (mereka-mereka yang menjadikannya musuh). Di sini lah aku difitnah dan dicaci hina. Masa ini sangat terkilan kerana aku tidak mendengarnya sendiri dari dia. Kenapa sanggup dibiarkan aku difitnah begitu? *menangis*


Dia tidak tahu bagaimana susahnya aku menahan rasa dan melihat dia dan dia (yang dulunya pernah mengakui tidak akan bersama kembali) berjalan bersama. Aku dapat rasakan mereka-mereka yang memfitnah dan membenci aku bertepuk tangan gembira dengan drama yang sedang mereka saksikan ketika itu.


Aku menjauhkan diri tetapi perlahan-lahan aku dapat terimanya bersama jurang yang terbina.


Sedang aku asyik bergembira setelah semuanya pulih, inilah detik yang aku tidak tahu bagaimana ia bermula. Hanya sekadar bertegur sapa dalam pesanan di Facebook, lama-kelamaan menjadi satu kemestian. Aku seronok berbual maya dengannya. Berasa senang... dan dengan tiba-tiba dirinya ingin berhubung dengan lebih rapat denganku.


Selepas segala gerak geri dihidu oleh teman kesayangan, aku mengakui semua padanya. Aku minta sedikit pandangan dan pendapat tentang hubungan yang akan dibina tetapi dikekang dengan jarak yang teramat jauh. Hubungan yang tidak akan bersua muka. Hanya kata yang merungkai segalanya.


"Yang.. Kalau ikhlas, semua benda boleh jadi dengan baik.."


Aku teruskan dengan riang gembira walau ada sedikit gundah pada awalnya. Bulan pertama berlalu dengan begitu baik sekali diikuti dengan bulan kedua, ketiga, keempat dan seterusnya. Semua berjalan dengan lancar.


Tiba di bulan yang keenam aku sangat terkejut. Kerana apa? 


Aku tidak menyangka yang dia telah memikirkan hala tuju tentang hubungan ini. Aku tidak kisah untuk menunggunya sehingga pulang ke tanah air walaupun aku rasa pada masa itu terlalu lama. Terlalu lambat masa bergerak untuk aku bertemu muka dengan dirinya.


".. lebih dari kawan."


Sekurang-kurangnya dua tahun lagi. Aku sanggup tunggu kerana aku dapat rasa keikhlasan itu. 


Setelah beberapa minggu aku ada bertanyakan lagi tentang hal ini kerana inginkan kepastian. Adakah benar seperti yang dikatakan olehnya sebelum ini. Aku anggap ini adalah satu harapan yang sangat indah. Sangat menyentuh naluriku dan jawapan darinya tetap sama. *tersenyum*


Sehinggakan ada Pegawai yang aku jumpa di KWSP yang ingin mendekat dan juga seorang QS yang ingin dijodohkan aku biarkan begitu sahaja kerana aku telah berjanji yang aku akan menunggu dirinya. 


Tapi apakan daya semua harapan itu gugur juga sebelum sempat ia mendaki dengan lebih tinggi. Dia ingin kembali ke pangkuan wanita yang pernah dia cintai suatu ketika dulu.


"Katakan lah dia datang balik, macam mana?"


"Tak.. Tak mungkin dengan dia dah. Dah habis."


Aku masih ingat dan akan sentiasa ingat.


Bagaimana susah untuk aku terima seseorang dalam hidup tetapi bila aku cuba dan telah buka pintu hati ini, aku juga yang kecewa merintih akhirnya. 


Tetapi yang peliknya kenapa tiada rasa sakit hati, marah atau benci terhadap dirinya??


'Cinta itu memang sangat buta.'


::nukilan ikhlas dari jari manisku



No comments:

Post a Comment