Friday 19 October 2012

Dunia yang adil


Bila tak ada benda nak buat, macam ada masa lengang bersenang lenang, otak ligat berfikir. Dulu kemain malas lagi nak mikir. Well, people change right? Yes, people do change. 
*tarik nafas dalam dan hembus perlahan*

Dalam pada saraf-saraf otak nih bercambah dan bersambung antara satu sama lain, aku terfikirkan satu perkara. Aku akui, Allah telah aturkan perjalanan dunia ini sungguh sempurna sekali. Tiada sedikit pun cacat cela. Jika berlaku sesuatu itu, pasti ada rahsia disebaliknya.

Sejak akhir-akhir nih aku selalu terfikirkan, sesuatu yang buruk itu pasti ada baiknya dan sesuatu yang baik itu pasti ada buruknya. Tiada yang sempurna dan itu menunjukkan dunia ini adalah saling melengkapi. Jika kita suka dan sayang sesuatu itu, ia mungkin akan menjadi sebaliknya suatu hari nanti dan jika kita benci akan sesuatu, percayalah di akhir nanti kita pasti akan menyayanginya. 

Teramat sangat. 

Itu semua ketentuan. Ketentuan Yang Maha Esa yang mengawal seluruh alam. Hanya Dia sahaja yang boleh mengubah dan menetapkan sesuatu.

OK sebagai contoh, kalau dulu aku adalah seorang pemakan durian yang tegar. Aku boleh makan sehingga berbiji-biji untuk aku seorang. Biji taw bukan ulas. Tapi tengoklah sekarang, bukan sahaja seulas malahan secubit pun aku tak boleh nak telan. Aku rasa durian adalah buah yang paling tak sedap di dunia. See. Allah boleh ubah dengan sekelip mata sahaja.

Aku bagi lagi satu contoh. Berkenaan sayur. Siapa yang rapat dengan aku nih akan tahu aku suka sayur atau tidak. Aku makan sayur-sayur nih tapi tak semua sayur. Aku memilih. Aku ikut mood. Lagi-lagi sayur-sayur atau daun-daun yang mengeluarkan bau dan rasa yang sangat dasyat (bagi aku lah) macam bunga kantan, daun kesum (hasil pertanyaan pada officemate sebab lupa nama daun nih) dan juga daun ketumbar. Sayur (atau daun yang lebih tepat) yang dinyatakan pernah terlintas dalam kepala yang aku tak akan sentuh. Kalau yang lain tu terasa nak makan, aku makan lah. Kalau tak, kena paksa macam mana pun aku tak akan makan. Ibu ke Mama bulatkan mata macam mana pun aku tak makan tetapi dengan kuasa tuhan, siapa tahu kan? Aku sekarang adalah penggemar daun-daun yang dinyatakan. Pheww. Suka sangat. OK, cukup.

Apa yang cuba disampaikan ini adalah kaitannya antara kita sesama manusia. Tak ada beza pun sebenarnya. Kadang-kadang kalau kita tak suka sesorang itu tetapi dalam kita tak sedar dialah orangnya yang banyak membantu kita. Kita akan rasa lega kalau dia ada. Kita rasa berterima kasih sangat. Walaupun kita tahu kita dikutuk belakang, tapi takpe sebab kita pun apa kurangnya kan. 
*tarik nafas perlahan*

Aku pun dibenci oleh seorang rakan masa zaman study dulu tetapi akhirnya, berkat hari raya yang mulia dua tahun sudah kami menjadi sahabat baik. Sahabat yang akrab yang boleh bercerita apa sahaja, yang boleh mengadu domba (betul ke ayat?). Ya, ini semua kuasa tuhan.

Banyak lagi perkara yang terjadi yang membuka mata aku sekarang. Semua kita tak boleh duga. Jika kita pasti itu yang terbaik untuk kita, kita mestilah berdoa dan berserah padaNya supaya apa yang kita idamkan kekal bersama. Jika tidak, kita harus berserah juga padaNya kerana Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Apa yang kita perlukan.

Aku bukanlah pandai sangat bab-bab nih tetapi aku mahu coretkan apa yang aku rasai, apa yang aku alami dan apa yang terlintas dalam fikiran. Tiada niat untuk mengajar cuma mahu berkongsi.

::nukilan ikhlas dari jari manisku

No comments:

Post a Comment